PERISTIWA DI BULAN ZULKAEDAH

Bulan Zulkaedah adalah bulan Arab dan Islam yang mulia, salah satu bulan-bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab), dan salah satu bulan haji (Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah). Pada bulan yang agung ini berlaku beberapa peristiwa menarik yang telah ditempuh oleh tentera Islam. Kami akan bicarakan beberapa peristiwa yang berlaku pada bulan ini semoga ianya menjadi peringatan, pengajaran supaya umat kita mencapai kemajuan, kemuliaan dan ketuanan seperti sebelumnya.
Perjanjian Hudaibiyah
Berlaku pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah. Rasulullah telah keluar dari Madinah bersama hampir 1400 orang sahabat dengan tujuan ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Tatkala musyrikin Mekah mengetahui berita ini mereka telah mengumpulkan pasukan yang berbeza keturunan bangsanya dan keluar dari Mekah untuk menyekat Rasulullah dan sahabat daripada mengerjakan umrah pada tahun tersebut. Lalu Rasulullah telah kembali ke Madinah setelah termetri satu perjanjian (sulh) yang membenarkan baginda datang pada tahun depan. Baginda tidak menetap lebih tiga hari di sini. Melalui Hubaibiyah musyrikin dan Rasulullah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama sepuluh tahun. Melalui perjanjian ini juga disyaratkan Rasulullah menghantar pulang orang kafir yang ingin memeluk Islam, sebaliknya musyrikin tidak perlu menghantar pulang orang-orang Islam yang menjadi kafir.
Biarpun perjanjian Nampak berpihak kepada musyrikin namun Rasulullah menerima semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh musyrikin.
Sebelum Hudaibiyah berlaku Baitur-Ridhwan setelah tersebar berita Uthman bin Affan telah dibunuh, iaitu janji setia muslimin untuk bersama Rasulullah membela kematian Uthman. Rasulullah telah menghantar Uthman kepada pihak Quraish untuk memberitahu tujuan kedatangan nabi dan muslimin bukan mahu membunuh sesiapa tetapi sekadar mengerjakan umrah sahaja. Allah telah memuji orang-orang mukmin dan menurunkan ayat tentang mereka:
“Sesungguhnya Allah Telah ridha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)”.(Al-Fath: 18)
Umrah al-Qada’
Pada tahun ke 7 Hijrah, Rasulullah saw telah keluar daripada Madinah bersama 2000 muslimin untuk mengerjakan umrah. Baginda berjalan sehingga tiba di Mekah dan terus mengerjakan umrah, melakukan Tawaf di Baitullah dan bertahallul. Setelah selesai bertahallul baginda telah berkahwin dengan Maimunah bt al-Harith al-Hilaliyah r.a.
Hujjatul Wada’
Rasulullah mula keluar meninggalkan Madinah untuk menunaikan Hujjatul Wada’ (haji terakhir) pada penghujung bulan Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah. Rombongan ini disertai ramai muslimin. Rasulullah menunaikan solat dua rakaat di Zulhalifah. Semasa tiba di Wadi al-Aqiq turun ayat al-Quran yang memerintah baginda supaya berkata kepada muslimin: “Ini ialah haji dan umrah sekali”. Bermaksud Allah menyuruhnya mengerjakan haji dan umrah sekali. Apabila tiba waktu pagi menyampaikan berita ini kepada rombongan muslimin.
Peperangan al-Firadh
Ia berlaku pada Zulkaedah tahun 12H. Pada peperangan ini berlaku pakatan jahat antara musyrikin Arab, Rom Kristian dan Parsi Majusi menentang tentera muslimin. Tentera muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin al-Walid telah menang ke atas pakatan jahat ini. Firadh ialah suatu tempat di sempadan Sham, Iraq dan Jazirah di sebelah tenggara. Jumlah tentera pakatan Rom, Parsi dan Arab yang telah terkorban pada masa itu ialah seramai 100,000 orang dengan kesepakatan ahli sejarah. Menurut Yaqut al-Hamwi di dalam Mu’jam Buldan: Pasukan Rom, Arab dan Parsi telah bergabung dalam satu pakatan. Lalu berlaku satu pertempuran besar dan dahsyat di sana. Tentera musuh yang terbunuh seramai 100,000 orang!!
Pembukaan Bisan
Kota Bisan terletak di bahagian utara Palestin iaitu di sebelah tenggara. Pada Zulkaedah tahun 13H bersamaan 634M kota Bisan Berjaya dibuka oleh tentera muslimin yang dipimpin oleh panglima Syarhabil binHasanah dan Amru bin al-‘As

Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah

Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam. Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Berlakunya Haji Wida'

Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin. Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

Bai'atur Ridwan

Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy. Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy". Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan". Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

Sumber :
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=24874&SecID=363
dan :
http://pmi.eng.usm.my/v2/index.php?option=com_content&view=category&layout=blog&id=14&Itemid=132&limitstart=5

Tiada ulasan:

Terdapat ralat dalam alat ini