HAKIKAT PERKAHWINAN












Assalamulaikum wbt, uncle ada terbaca satu sumber yang menceritakan tentang perkahwinan, oleh itu uncle amat tertarik untuk berkongsi info berkaitan PERKAHWINAN dalam blog uncle ni. Seperti yang kita sedia maklum, perkahwinan adalah suatu sebutan yang manis di kalangan para 
Syabab dan Akhawat” kerana ini adalah “ Sunnatul Hayah” yang telah di tentukan oleh Allah swt kepada Bani Adam dan Banat Hawwa. Ianya menjadi impian setiap Syabab dan Akhawat bahkan mereka yang telahpun merasai nikmat perkahwinan juga tidak ketinggalan.
 Tetapi mengapa kita merasa takut dan gerun apabila berbincang tentang perkahwinan atau ‘Az-Zawaj’ secara serius sama ada dengan keluarga atau kawan. Bahkan kita cuba berdolak dalih dengan berbagai alasan yang dibuat-buat untuk mengelakkan diri dari ‘alam perkahwinan’, sunnah yang di ajar oleh penghulu anak Adam alaihissolatu wassalam
Sedangkan kitalah orang yang paling lantang apabila berbual dengan kawan-kawan tentang perkahwinan.




Wahai golongan pemuda sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu hendaklah ia berkahwin kerana ianya boleh menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mempunyai kemampuan hendaklah ia berpuasa kerana puasa memjadi pelindung kepadanya. [HR Al-Bukhari]
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud:
Apabila seorang hamba telah berkahwin ia telah menyempurnakan setengah dari agamanya maka hendaklah ia bertakwa untuk yang setengah lagi” 
[HR Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab, dinilai “Hasan” dalam Sahih Al-Jami’]
Terdapat banyak lagi hadis-hadis serta taujihaad-taujihaad dan irsyadaat-irsyadaat (bimbingan) dari Rasullulah saw kepada umatnya tentang kelebihan berkahwin.

Faedah Berkahwin:
Seterusnya sama-sama kita melihat faedah “Az-zawaj” secara ringkas seperti yang disebutkan oleh para ulama di antaranya As Syeikh Muhammad Ali Assobuni dalam kitabnya Az-zawaj al-Islami Al-Mubakkir [ms: 38]
Perkahwinan Awal secara Islami, antaranya:
1) Mengekalkan keturunan.
2) Memelihara diri dari godaan syaitan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Aku tidak tinggalkan suatu fitnah yang paling mudharat kepada kaum lelaki selain dari fitnah perempuan”.[HR Al-Bukhari].
Kata setengah ulama’ syaitan berkata kepada perempuan: Kamu adalah setengah daripada tenteraku, kamu adalah anak panahku yang tidak pernah salah sasarannya.
3) Mendapat ketenangan dan kerehatan seorang suami apabila berada di samping isteri yang baik sertatoma’ninah dalam kehidupan berumahtangga.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
Aku khabarkan kepada kamu apakah perkara paling baik yang dimiliki oleh seorang itu? Iaitu isteri yang solehah apabila ia melihat kepadanya menyenangkan hatinya, apabila disuruh membuat sesuatu pekerjaan dipatuhinya dan apabila ia keluar dari rumah ia memelihara dirinya.”
[HR Al-Hakim, dinilai “Dhaif” dalam Dhaif al-Jami’].
4) Melapangkan diri dari kerja-kerja rumah yang memberi peluang kepadanya untuk menumpukan kepada kerja-kerja yang lebih besar, berjihad, berdakwah dan lain-lainnya.
5) Mujahadatun-Nafs serta melatih diri dengan tanggungjawab terhadap rumahtangga, isteri dan anak-anak. Bersabar menanggung kesusahan dan berusaha untuk membentuk dan mendidik mereka ke jalan yang betul. Sayyidina Umar Al Khattab ra berkata, maksudnya: “Tidak ada perkara yang dapat menyekat seseorang itu dari berkahwin kecuali ia tidak berkemampuan (zahir dan batin) atau ia seorang yang Fajir (orang yang suka melepaskan nafsu ke tempat-tempat yang haram).”
Perkahwinan dalam Islam adalah suatu ibadat dan Qurbah, seorang mukmin akan diberi pahala dan ganjaran oleh Allah apabila mengikhlaskan niat perkahwinannya dengan tujuan untuk memelihara diri dari perkara yang haram, bukan semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja.
Nasihat untuk para pelajar:
Tetapi sebelum melangkah ke alam perkahwinan, seorang pelajar terlebih dahulu hendaklah mengkaji keadaan atau zuruf yang sesuai. Sebagai pelajar adalah perlu mengambil kira masa dan tempat belajar, agar ianya tidak mengganggu proses pembelajaran dan ‘tahsilul ilmi’ yang bermanfaat. Serta jangan menjadikannya suatu alasan untuk melarikan diri dari tanggungjawab seperti mereka yang disebutkan pada awal perbincangan tadi. Jangan kerananya kita berada di dalam masyarakat yang hidup liar dan bebas kerana sudah pasti perkahwinan merupakan suatu wasilah untuk menyelamatkan diri dari terjerumus ke lembah maksiat.
Mereka yang telah melaksanakan sunnah ini hendaklah bersabar dalam menghadapi karenah pasangan masing-masing. Bagi yang hidup berjauhan pula, bersabarlah atas perpisahan yang sementara ini, jangan kerana suami/isteri kita mengabai dan meninggalkan pelajaran. Manakala seorang pendakwah pula hendaklah lebih gigih lagi dalam kerja dakwahnya, jangan menjadi orang yang gugur (al-mutasaqit) dari medan dakwah kerana sayang untuk meninggalkan isteri.
Allah swt telah mengingatkan kita melalui firmannya yang bermaksud:
{Wahai orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri mu dan anak-anak mu ada yang menjadi musuh bagi mu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka, dan jika kamu maafkan, tidak memarahi dan mengampunkan (mereka) sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya harta mu dan anak-anak mu hanyalah cubaan fitnah bagimu dan di sisi Allah pahala yang besar.} [At-Taghabun: 14-15].
Akhirnya sentiasalah kita berdoa dengan doa yang di ajar oleh Allah:
ربنا هب لنا من أزواجنا وذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما.
Dan doa yang di ajar oleh Abdullah Bin Mas ‘ud ra kepada para syabab:
أللهم أرزقني امراة إذا نظرتُ إليها سرَّتني، وإذا أمرتُها طاعتني،
وإذاغِبت عنها حفظت غيبي في نفسها ومالي
Maksudnya: “Wahai Tuhan, rezekikanlah kepadaku isteri yang apabila aku memandang kepadanya akan menggembirakanku, apabila aku menyuruhnya (melakukan sesuatu) dia akan taat kepadaku, apabila aku tidak ada dia akan menjaga kehormatan dirinya dan hartaku”.
Bagi yang baru dihijabkabulkan, sedekahkanlah doa buat mereka :
بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير
" Tuhan memberkati bagi anda dan memberkati kalian berdua dan menghimpun dalam kebaikan "
Doa ini ada terdapat dalam sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Meher Zain yang bertajuk " Barakah Allah Lakuma ". Saksikanlah video ini,,,,,,
video
Semoga kita mendapat manfaat daripada perkongsian ini, Wallah alam. Jazakallah khair. Wassalam,

[Sumber: Majalah “Suara Madinah” 1415H-1994].

Tiada ulasan:

Terdapat ralat dalam alat ini